Sunday, June 17, 2007

Agama : 10 Golongan Yang Dilaknat oleh Allah

Agama : 10 Golongan Yang Dilaknat oleh Allah

|Anda Musykil : HMetro edisi Isnin, 11 Jun 2007

KERJA HANTAR MINUMAN KERAS

SAYA bekerja di bahagian restoran sebuah hotel terkemuka di Ipoh. Masalahnya, saya kerap diminta menghantar minuman keras kepada pelanggan. Soalan saya, adakah wang gaji saya haram dan apakah saya perlu meletakkan jawatan?

INGIN TAHU Ipoh

JAWAPAN

Bekerja dinilai sebagai satu ibadat jika ia tidak mengandungi unsur syubhat dengan perkara haram atau jika pendapatan yang diperoleh digunakan untuk perbuatan maksiat.

Pada dasarnya bekerja di hotel hukumnya harus atau boleh, bahkan menyediakan penginapan untuk musafir dalam perjalanan dinilai sebagai kebaikan. Bagaimanapun, ada hotel turut menyediakan arak.

Dalam hal ini, hadis menyatakan enam golongan dilaknat Allah terhadap pengharaman arak iaitu pembuat, penjual, pembawa, pembeli, pelayan dan peminum.

Jika terbabit dengan satu yang disebut, anda termasuk golongan yang dimurkai Allah.Seandainya anda sukar mendapatkan pekerjaan lain dan berusaha mencari pekerjaan yang tiada kaitan dengan minuman keras dan sesuatu yang haram, yang paling penting dalam hal ini, menurut Yusuf Al Qardawi, kita tidak reda dengan sesuatu berkaitan perkara haram ini.

Selepas itu berusahalah mencari yang baik dan diredai Allah supaya hidup mendapat berkat dan rezeki yang kita makan serta anak dan keluarga tidak mengandungi unsur syubhat. Wallahu A'lam.


Atas permintaan seorang sahabat, ana nukilkan persoalan ini untuk sama-sama dibincangkan. Ana difahamkan ada kesilapan pada jawapan yang diberikan oleh seorang ustazah di dalam ruangan Anda Musykil Harian Metro edisi Isnin, 11 Jun 2007 berkenaan permasalahan arak dalam Islam.

Kenyataan yang dimusykilkan adalah berkenaan golongan-golongan yang dilaknat oleh Allah oleh kerana penglibatan mereka di dalam urusan arak. Menurut jawapan ustazah ( ataupun wartawan yang silap ) tersebut, hanya 6 golongan yang terlibat dan dilaknat oleh Allah. Sekaligus menyangkal kenyataan keras Rasulullah s.a.w sebagaimana sabdanya:
"Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, sepuluh golongan: (1) yang memerasnya, (2) yang minta diperaskannya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (5) yang minta dihantarinya,(8) yang makan harganya ( hasilnya ), (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya."
(Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)
Jadi, berdasarkan hadis ini, ada 4 golongan ( yang digelapkan ) yang tidak dijelaskan oleh ustazah itu. Sesungguhnya, Rasulullah tidak menganggap sudah cukup dengan mengharamkan minum arak, sedikit ataupun banyak, bahkan memperdagangkan pun tetap diharamkan, sekalipun dengan orang di luar Islam. Oleh kerana itu tidak halal hukumnya seorang Islam mengimport arak, atau mengeksport arak, atau membuka warung arak, atau bekerja di tempat penjualan arak.

Merujuk golongan ke-8 yang tidak dinyatakan iaitu memperoleh hasil daripada urusniaga arak, persoalan yang bermain di fikiran ana sekarang adakah jawapan yang diberikan tersebut merupakan suatu kesilapan ataupun disebabkan ke terikatan si penjawab dengan urusan pangkat dan kuasa. Nauzubillah. Jangan lupa, Malaysia memperoleh jutaan ringgit hasil daripada cukai arak. Dan jangan lupa, Malaysia memiliki sebuah kilang arak yang tergolong di dalam golongan kilang arak terbesar di Asia Tenggara. Dan jangan lupa, Malaysia bakal menjadi pengeksport arak. Diharap tiada ulamak- ulamak yang mendustakan agama demi menjaga kuasa, pangkat dan hartanya sendiri. Jika Allah sahaja di hati, lautan pesona dunia tidak akan mampu menggoncang keimanan dan ketakwaan kepadaNya.

Ini bukanlah suatu tuduhan mahupun fitnah, ianya adalah suatu kemusykilan berkaitan hukum Allah yang mesti diberi penjelasan dengan sebenarnya tanpa berselindung dengan sebarang kepalsuan.
Pohon penjelasan daripada yang lebih arif. Wallahua'lam

0 Comments:

Post a Comment

<< Home