Monday, February 26, 2007

harga sebuah akidah



" SYED " dan " PARK JI SUNG (bukan nama sebenar) " , 2 orang kawan korea yang baru ana kenal 2 hari lalu. Syed ialah seorang remaja yang sudah memeluk islam hampir 3 tahun. Dia merupakan seorang mahasiswa dalam bidang bahasa di salah sebuah universiti di Korea. Syed sudah hampir menguasai 5 bahasa termasuk bahasa malaysia. Manakala Park pula seorang dewasa yang baru belajar mengenali islam . Matlamatnya adalah untuk mencari kebenaran dalam beragama sebelum menganutinya. Park merupakan seorang penulis yang pernah melanjutkan pelajaran di Jerman. Kedua-duanya orang korea, yang membezakan mereka adalah AKIDAH.

Syukur kepada Allah kerana mempertemukan ana dengan mereka semua. Segala kesuraman hati ini seolah-olah sudah terubat dengan kehadiran mereka.

" Syed, boleh ceritakan bagaimana kamu memeluk islam ? " , membuak-buak perasaan ingin tahu dalam diriku.

" Masa saya sekolah menengah, mak ayah selalu ajak pergi gereja. Ayah dan mak saya seorang penganut Kristian yang kuat. Tapi waktu tu, berkat hidayah Allah, wujud perasaan sangsi dan keliru berkenaan ketuhanan Jesus dalam diri saya. Jesus cuma seorang manusia biasa, bagaimana dia boleh menjadi tuhan ? Bagaimana Jesus mampu menghapuskan dosa orang lain sedangkan dia pun tidak terlepas dari melakukan dosa ? Saya selalu beritahu mak ayah, yang patut kita sembah bukanlah Jesus, tapi suatu kuasa lain yang Maha Esa dan Maha Kuat. Sejak itu, saya mula mengenali Islam. Alhamdulillah, mak dan ayah tidak menghalang saya untuk menganut agama Islam. Sekarang saya tenang dengan kehidupan baru saya ", bicara Syed diselang senyuman yang penuh bermakna.

" Alhamdulillah,semuanya perancangan Allah. Jadi bagaimana dengan kehidupan Syed sekarang. Banyak berubah? "

" Ermm,mula-mula susah juga. Maklumlah,rata-rata orang korea mengikut ajaran kristian. Dalam hal makanan,susah juga untuk tinggalkan babi dalam makanan saya sebab saya suka makan daging babi. Mula-mula peluk islam dulu, saya still makan daging babi. Tapi setiap kali makan babi,mesti perut saya jadi sakit. Mungkin tu amaran daripada Allah atas kesilapan saya. Sejak itu,saya tak makan babi dah. Saya tiada masalah dengan arak sebab saya bukanlah penggemar minuman tu sejak sebelum memeluk islam lagi. Sekarang saya sedang memperdalamkan ilmu agama dalam bab solat dengan kawan-kawan muslim lain", petah sekali bicaranya.

" Insyallah Syed, syukur ke hadrat Allah kerana mempertemukan kita atas ikatan islam. Ana doakan kamu sentiasa di bawah limpah rahmatNya"....

Itu Syed, yang sentiasa senyum dengan kepetahan bicaranya. Berbeza sekali dengan Park. Dalam diam Park sedang mencongak segala ilmu yang diperolehinya selama dia beriktikaf dalam masjid. Dia faham seorang yang berpendidikan sepertinya tidak seharusnya menganuti sesuatu agama secara membuta tuli tanpa suatu kajian yang terperinci dan teliti. Dan kini dia sudah mendekati matlamatnya. Kami menghabiskan masa semalaman bersama Park di masjid. Dan itu mungkin pengalaman pertama Park tidur di masjid. Walaupun belum melafazkan kalimah syahadah, tapi raut wajahnya menampakkan jawapan yang dicarinya hampir ditemui.

" Park, apa pandangan kamu mengenai Kristian "...

" Tiada apa yang perlu diperkatakan tentang agama Kristian. Segalanya adalah bohong. Bible adalah pembohong, penipu. Penganut-penganut Kristian semuanya dah ditipu oleh bible. Saya tiada masalah dalam membezakan Kristian dan Islam sebab bagi saya Kristian sudah jelas suatu agama yang karut. Cuma sekarang saya sedang mengenali dengan lebih mendalam mengenai Islam " , kata-katanya disusun sambil kepalanya seakan-akan diasak pelbagai persoalan.

Insyallah, ana doakan supaya Park pun akan peluk islam seperti Syed. Walaupun beberapa kekeliruan tentang Islam telah dizahirkannya kepada kami, alhamdulillah dengan bantuan semua,mudah untuk dijelaskan kepada dia. Bukan hanya kekeliruan, kekagumannya tentang ayat-ayat al-quran pun telah dizahirkannya. Alhamdulillah,sempat kami sama-sama alunkan bacaan Yassin untuk didengarinya.

Maaf, tak sempat untuk ana lontarkan segalanya kat sini. Cukuplah sekadar kisah ini mengajar kita sebuah pengajaran berguna akan hakikat kehidupan kita sebagai seorang muslim. Alhamdulillah,Allah telah pilih kita sejak kita dilahirkan lagi. Tidak seperti saudara Syed yang baru memeluk Islam dan saudara Park yang sedang dalam proses mengenali islam.

Sejujurnya, inilah first time ana melihat sendiri gaya seorang yang sedang mencari kebenaran dalam beragama. Dengan raut muka yang seakan-akan serba salah, mindanya sedang mencongak apakah agama yang sepatutnya aku anuti ?? Itulah harga sebuah akidah dalam kehidupan kita. Peliharalah akidah islam yang telah kita genggam itu sebaik-baiknya.

Hati ini sentiasa tertanya-tanya, orang kafir berduyun-duyun memeluk Islam, tapi kenapalah orang Islam nak keluar Islam plak ????

0 Comments:

Post a Comment

<< Home