Hidayah Allah
Hidayah Allah
![]() |
Hidayah Allah, sesuatu yang cukup subjektif untuk ditafsirkan. Hanya yang terpilih sahaja yang mampu memilikinya. Ia datang tanpa disedari, sekaligus mengubah corak perjalanan hidup insan. Hidayahlah yang telah mengubah pegangan Saidina Umar Al-Khatab sehingga beliau diangkat menjadi Khalifah oleh Allah. Jika peristiwa pengislaman Saidina Umar membuktikan betapa bernilainya sebuah hidayah, peristiwa kematian bapa saudara Rasulullah s.a.w, Abu Talib dalam keadaan tidak beriman kepada Allah pula menjadi saksi bahawa hidayah itu hanya milik Allah. Sama sekali tidak dapat dijual beli mahupun diwarisi oleh ahli keluarga, sahabat-sahabat, dan kaum kerabat terdekat.
Peristiwa di Seoul Central Masjid semalam sudah cukup untuk mengajar ana tentang hebatnya hidayah Allah. Bukanlah suatu kisah yang melucukan. Tetapi ia seakan-akan sebuah kisah "misteri" yang Allah sahaja dapat merungkaikannya. Dalam kekhusyukan mendengar tazkirah daripada seorang muzakkir dari Bangladesh, di hujung pintu sana muncul seorang lelaki Korea ( ajossi ) ke arah kami.
Konsentrasiku sedikit terganggu, memerhatikannya yang turut serta dalam majlis yang diadakan. Dugaanku pada awalnya mengena. Selepas berinteraksi dengannya, barulah kami sedar bahawa lelaki tersebut sedang mabuk. Dan ternyata dia bukanlah seorang Muslim dan ini adalah first time dia datang ke sini. Bagaimana seorang lelaki mabuk boleh hadir ke sini ? Siapa yang "memandu"nya ke sini ? Berbagai soalan menerjah benakku. Tetapi dalam diam, hati berbisik, INILAH HIDAYAH ALLAH.
Usai majlis taklim, kami makan bersama-sama walaupun pada awalnya begitu kaget berdepan seorang pemabuk. Teringat pesan seorang ustaz, kita bukan hakim untuk menentukan siapa bersalah. Kita juga bukan seorang kadi untuk menghukum orang lain. Tetapi mulianya kita adalah kerana kita dilahirkan sebagai seorang Dai'e.
Sebagai seorang Dai'e, berusahalah untuk "mengubah" perjalanan hidup ummat, bukan "menghukum" mereka. Sekalipun dia seorang pemabuk,penzina bahkan pembunuh, ingat jika Allah kehendaki hidayat kepadanya, Allah mampu mengangkatnya semulia wali-wali Allah. Lenturlah hati-hati mereka dengan kalimah-kalimah mengagungkan Allah. Insyallah jika sekeras-keras batu boleh dilekukkan, mengapa tidak hati manusia?
Jika Dai'e menjalankan tugas mengikut tertib, insyallah pasti akhirat terjunjung di kepalanya dan dunia terluntut di kakinya. Dan teringat satu nasihat berguna yang ana dapat semalam. Sebagai seorang pelajar, utamakan belajar. Belajar mesti jadi yang utama dalam hidup kita tetapi dakwah bukan nombor 2. Bukan juga nombor 3 dan seterusnya. Sama-sama fikirkan. Walaupun kita tidak mampu meluangkan masa untuk keluar berdakwah di tempat lain, tuntutan dakwah masih tertanggung atas diri kita iaitu dengan hidup bersama akhlak Rasulullah. Tunjukkan akhlak yang baik sebagai seorang muslim dan jagalah sahabat-sahabat seperti kita sayang ahli keluarga kita sendiri.
"Besar pengharapan untuk berjumpa lagi dengan ajossi tersebut. Semoga suatu hari, kita berdiri atas rumpun akidah yang sama. Sama-sama menegakkan kalimah Toyyibah di muka bumi Allah ini." Ameen

<< Home